05 May 2013

JUMUD

Assalamualaikum w.b.t.

Untuk entri yang ini, aku ingin menegaskan bahawa entri yang aku taip ini hanyalah dari pendapat aku dan bukan tujuan untuk memburukkan sesiapa. Tujuan aku hanyalah untuk memberi kesedaran. Sekiranya ada sesiapa yang terbaca entri ini dan ingin berbincang serta mengutarakan pendapat, aku amat alu-alukan. Kerana apa yang aku taip ini adalah berdasarkan pemerhatian aku. Dan aku rasa aku bebas untuk memberikan pendapat bukan ? Dan aku bukan lah ustazah atau orang baik sebab tiba-tiba nak cakap pasal agama ini. Cuma terasa sedikit terkilan.

Entri kali ini, aku ingin menyentuh soal jumud. Apa maksud jumud ? Hmmm.. aku cuba mencari di carian Google. Macam-macam definisi aku jumpa. Antaranya : beku, kaku, kolot, sempit dan seangkatan dengannya. Kenapa tiba-tiba aku nak cerita pasal jumud ?

Hari ini 5/5/2013. Tarikh mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-13. Mungkin entri kali ini berbaur politik sedikit.  Umurku masih belum layak untuk mengundi. Walau apapun, aku masih ambil tahu sedikit tentang politik. Dan aku neutral. Tidak menyokong mana-mana pihak. Setiap pihak ada pros dan kons masing-masing.

Aku tengok banyak parti bergaduh padahal yang bergaduh ni sesama Islam sendiri. Aku cuma ingin memberi pendapat, kenapa kalau parti Biru buat salah, parti Hijau tak nak tolong betulkan. Kenapa tak galakkan pengikut mereka untuk menjalinkan ukhuwah yang baik sesama Islam ? Pendapat aku, sikap sesuatu pengikut itu mencerminkan sesebuah parti itu.

Misalnya, aku mempunyai seorang kenalan rapat yang aku gelar sebagai H. H merupakan seorang mahasiswi yang menuntut di sebuah kolej Islam. Nama pun kolej Islam, mestilah kebanyakan daripada mereka jenis yang berkopiah, bertudung labuh, suka bertarbiyah.... Semasa mula-mula H menjejakkan kaki di situ, dia dilayan dengan baik oleh pelajar-pelajar di situ. Tapi setelah mereka mendapat tahu bahawa ayah H merupakan seorang ahli politik dan berbeza fahaman politik, H telah di diskriminasi oleh pelajar-pelajar di situ. Dia sering berasa tertekan kerana sering diejek dan disindir oleh senior-senior di sana kerana fahaman politik ayahnya padahal H tidak melakukan apa-apa yang tidak sepatutnya. Contohnya, menyebarkan fahaman politik. Hello, aku rasa bodoh la semua ni ! Nampak tak keJUMUDan yang mereka tampilkan ?

Tak payah nak cakap jauh-jauh la. Benda macam ni pun berlaku jugak dekat tempat aku belajar. Budak yang selalu datang masjid, yang bertudung labuh selalu dilayan baik-baik oleh pelajar senior yang pakai tudung labuh tu sebagainya. Tapi yang jarang datang masjid macam aku, yang tak pakai tudung labuh... memang susah la kalau nak dapat layanan macam tu. Mereka hanya bergaul sesama mereka. Berdakwah sesama mereka di mana yang dah baik, untuk bertambah jadi baik. Habis yang kurang baik seperti aku ? Di pandang sepi ? Nampak tak keJUMUDan mereka kat situ ? Aku akui mereka selalu mengadakan aktiviti yang menggalakkan pelajar untuk lebih dekat dengan Islam. Aku guna prinsip : ambil yang jernih, buang yang keruh. Aku selalu mengikuti aktiviti yang mereka anjurkan. Tapi kadang-kadang mereka tak sedar perkara asas iaitu ukhuwah.

Cuma aku nak beri sedikit pesanan buat Abang Kopiah dan Akak Tudung Labuh. Minta maaf awal-awal kerana aku bukan nak burukkan kalian. Aku cuma nak beri sedikit peringatan seperti abang dan kakak selalu buat. Aku yakin kalian tahu yang setiap umat Islam yang lahir di muka bumi ini adalah wajib untuk menyampaikan dakwah. Tapi cuba kalian fikir, kalian buat usrah, bagi tazkirah, bertarbiyah selama ini, kalian dah rasa kalian cukup baik ? Ya, memang kalian baik. Tapi mungkin kalian tak sedar perkara yang paling asas. Kenapa perlu diskriminasi orang-orang seperti kami ? Yang jarang pergi masjid, yang tak pakai tudung labuh, yang tak tutup aurat, yang solat masih tinggal, yang mengaji pun kadang-kadang ? Aku tahu bukan semua Abang Kopiah dan Akak Tudung Labuh macam ni. Hanya segelintir. Tapi apa yang aku perhati, mereka cuma usrah, tazkirah, tarbiyah buat mereka yang dah memang baik. Habis tu macam mana yang kurang baik ? Fikirlah. Tolong jangan jadi JUMUD. Jangan jadi bongkak dengan ilmu agama yang ada di dada. Jangan mudah menghukum orang. Islam tak ajar kalian untuk bersifat begitu. Islam ajar kalian untuk mengukuhkan ukhuwah sesama saudara Islam. Dengan orang kafir pun Islam ajar untuk berbuat baik dengan mereka apatah lagi dengan orang Islam sendiri. Islam itu indah wahai saudara saudari. Kerana wujud golongan yang JUMUD, ramai yang pandang serong pada agama Islam.

Cuba contohi akhlak Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah contoh pemimpin terbaik. Beliau berdakwah kepada semua orang tak kira bangsa dan agama. Baginda tak pernah putus asa untuk menyampaikan dakwah walaupun ditentang. Saudara saudari, jangan sebut kalian cintakan Rasulullah, kalau benda asas pun kalian tak amalkan.

Amar Makruf Nahi Mungkar. Golongan Kopiah dan Tudung Labuh selalu melakukan tugas ini. Mungkin senang nak Amar Makruf tapi Nahi Mungkar ? Memang tugas yang agak susah. Tapi pendapat aku, kalau kita nak Nahi Mungkar, mulakan dengan diri kita dulu. Mulakan dengan menjalinkan ukhuwah dengan orang sekeliling. Hablumminallah wa hablumminannas. Macam mana nak jaga hubungan dengan Allah kalau hubungan dengan manusia pun tak cuba untuk perbaiki ?

Apa yang aku nak cuba sampaikan :

1. Jangan kerana berbeza fahaman politik, umat Islam perlu berpecah belah. Cuba untuk bersatu. Barulah Islam itu kuat.
2. Kalau ada saudara segama kita yang buat salah, tolonglah berpesan dengan kebenaran. Bukan terus menghukum.
3. Jadilah pendakwah yang baik. Selain mengingatkan orang lain, ingatkan juga diri sendiri.
4. Jangan terlalu bongkak dan rasa hebat dengan ilmu agama yang ada. Gunakan ilmu itu untuk kebaikan.
5. Contohi akhlak Rasulullah. Baginda merupakan contoh manusia yang terbaik. Tiada keraguan.
6. Sentiasa mengamalkan Amar Makruf Nahi Mungkar dan menjaga hubungan dengan Allah serta manusia.
7. Sentiasa berbuat baik sesama manusia apatah lagi saudara seagama. Jangan amalkan diskriminasi.
8 Akhir sekali, jangan JUMUDkan pemikiran anda. Ingatlah, bahawa Islam itu indah. Islam itu sempurna. Islam itu luas. Islam itu universal.

Akhir kata dari aku, aku minta maaf kalau ada yang terasa bila baca entri ini. Aku sayangkan Islam. Aku tak nak melihat umat Islam berpecah hanya kerana masalah keJUMUDan yang dilakukan oleh sesetengah pihak. Andai salah, tolong betulkan. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayahNya kepada aku dan seluruh kaum muslimin dan muslimah. Inshaa Allah :)

P/s : Aku anak muda sayang Islam.
P/s : Entri ini juga buat pesanan kepada diri aku sendiri.

Aku hamba Allah, Nurul Farahin Osman.

No comments:

Post a Comment